Dua hari lepas, semasa makan-makan dengan ahli rumah, timbul perbincangan berkenaan bila dah jadi suami nanti. Biasanya, apabila disebut fasal perkahwinan, orang sibuk membicarakan perihal pasangan yang hendak dikahwininya. Tetapi yang terharunya saya dalam perbincangan tengah makan itu, kami membicarakan bagaimana keadaan diri kami untuk menjadi suami.
“Masjid pun tak istiqomah pergi”
“Subuh pun liat nak bangun”
“Kekemasan rumah pun susah nak jaga”
Ya. Bagaimana agaknya bila sudah berkahwin? Mungkin orang sibuk berfikir bagaimana mendalamnya cinta mereka kepada pasangan mereka boleh pergi selepas kahwin nanti. Tetapi entah kenapa, saya berfikir apakah aku ini mampu nak didik isteri dan anak? Mampu nak pimpin mereka untuk dapat redha Allah? Mampu nak didik mereka untuk menghala ke syurga?
Kalau kita berhenti pada persoalan mampu atau tidak, sudah bersedia atau tidak, mungkin hingga mati kita tidak akan dapat jawapannya kalau sekadar berfikir-fikir demikian. Maka saya mewujudkan satu persoalan lain yang lebih ‘bumi’ untuk difikirkan.
Realiti sebuah pekahwinan
Seronok bila kahwin. Saya tak pernah nampak lagi orang yang berduka bila hendak berkahwin. Tetapi saya suka, dalam keseronokan perkahwinan, seseorang itu perlu memandang bahawa perkahwinan adalah gerbang kepada dunia yang lebih besar dan panjang. Jangan dilihat bahawa perkahwinan itu adalah Majlis Perkahwinan yang dihadiri ramai orang, tempohnya hanya sehari, disertai pelbagai program dan majlis makan sahaja. Tetapi selepas Majlis Perkahwinan itu wujud satu perjalanan panjang. Dan bukan keseronokan sahaja yang wujud di dalamnya.
Kita akan tinggal dengan pasangan kita dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Tidur dengannya, bangun dengannya, makan dengannya, tinggal bersamanya, dan bila ada masalah serta cabaran kita bersamanya. Dan tiada orang pada saya, bercita-cita berkahwin hanya sehari dua.
Kemudian bila Allah izin dapat anak, dengan anak pun sedemikian. Kita bersamanya dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Dan saya tak rasa ada orang yang nak anak dia mati selepas 2-3 hari.
Bersama mereka. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan entah berapa tahun dalam kehidupan kita. Majoritinya mencecah puluhan.
Kalau tak berusaha untuk bersedia, apakah akan terjadi sepanjang pengharungan alam yang panjang itu?
Suami adalah contoh
Bayangkan ya, dalam sepanjang kehidupan kita berumah tangga nanti, kita adalah seorang yang selalu bangun lewat subuh, jarang sungguh membaca Al-Quran, tidak pula menjaga kebersihan, apatah lagi masih suka melakukan dosa, bagaimana agaknya pasangan kita?
Ini adalah tanggungjawab besar selain memberikan nafkah. Menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.
Saya tidak dapat membayangkan kita bangun lewat Subuh dan isteri ikut bangun lewat sama kerana kita tak bangun awal Subuh. Anak juga kemudiannya terbiasa bangun lewat Subuh sebab kita tak kejutkannya Solat Subuh.
Saya tidak dapat membayangkan kita jarang sungguh membaca Al-Quran sehingga isteri pun rasa tidak mengapa tidak membaca Al-Quran. Anak juga kemudiannya rasa susah hendak suka dengan Al-Quran sebab kita pun jarang membaca Al-Quran.
Saya tidak dapat membayangkan kita masih suka buat dosa, jauh daripada Allah, sehingga isteri pun nanti rasa tidak kisah atas hal yang sama kerana merasakan itu perkara biasa. Anak juga kemudiannya rasa yang dosa itu bukan dosa sebab dia melihat kita melakukannya seakna itu perkara halal dan mendapat pahala sahaja.
Bagaimana? Tidakkah terasa bahawa berusaha ke arah persediaan adalah sesuatu yang urgen?
Yang akan dipersoal di akhirat
Suami, bapa, ketua keluarga, itulah yang paling berat persoalannya di hadapan Allah kelak. Satu perkara yang kita perlu ingat adalah kita akan dibangkitkan di hadapan Allah dan akan dipersoalkan. Maka bagaimana agaknya persediaan kita untuk menjawab persoalan Allah akan hal keluarga kita?
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Bagaimana pula kalau kita yang menjadi penyebab mereka ke neraka? Bukankah itu menyedihkan?
“Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.” Surah Az-Zumar ayat 15.
Adakah kita hendak menjadi orang yang merugikan diri dan keluarganya sekali?
Ketahuilah. Kahwin itu bukan sekadar majlis perkahwinan, dan tanggungjawabnya bukan sekadar nafkah.
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
Dan yang hendak memerintah, pastinya perlu melakukannya bukan?
Memang kalau nak tunggu sempurna tak akan sempurna
Memang kalau sekarang kita tanya diri kita, apakah aku telah sempurna untuk berkahwin, nak jadi contoh, memang tak akan kita mampu jawab sempurna. Jadi, apakah kita tidak boleh berkahwin sebelum sempurna?
Tetapi setahu saya, ada manusia yang berusaha ke arah kesempurnaan itu.
Sebab itu, persoalan yang saya timbulkan adalah, apakah kita telah berusaha untuk bersedia?
Semasa bujang kita mula jaga kekemasan, semasa bujang kita sudah usaha menyelesaikan hal Bangun Subuh, semasa bujang kita usaha memperkuatkan hubungan dengan Allah, semasa bujang kita usaha biar diri cinta dengan Al-Quran dan kebaikan, semasa bujang kita sudah usaha meninggalkan dosa-dosa dan memperkemaskan banyak amalan.
Apakah kita telah berusaha membiasakan diri kita untuk menjadi contoh?
Penutup: Saya percaya bahawa rumah tangga yang terbaik, adalah yang Allah redha
Saya percaya bahawa, rumah tangga yang terbaik adalah yang mendapat keredhaan Allah SWT. Dan saya pula percaya bahawa manusia tak akan mampu menjadi baik tanpa usaha. Sebab itu saya kira, hendak membina rumah tangga yang baik, maka manusia perlu berusaha untuk bersedia.
“Ala bro, lepas kahwin nanti baru fikir lah”
Ya. Mungkin boleh. Tetapi bagaimana agaknya kalau terlewat? Baru hendak berubah, anak dan isteri pula telah pekat dengan amal kita sebelum berubah. Bagaimana?
Mengapa bila dikurniakan masa ketika bujang, tidak kita gunakan?
“ala, benda ni benda dah kahwin la bro. Pelajar-pelajar kena fikir belajar aja”
Oho. Maaf. Guru saya kata, hal perkahwinan kena fikir semasa dari tingkatan satu lagi. Ia menjana kematangan. Bukan fikir nak kahwin dengan siapa. Tetapi fikir nak hidup macam mana lepas kahwin nanti.
Maka, apa kata kita jangan lewat-lewatkan usaha kita? Mengapa tidak dari sekarang?
Saya teringat kata-kata seorang ulama’:
“Ada beza orang yang beriman di awal Islam, dengan orang yang beriman selepas Fathu Makkah.”
Fikir-fikirkan.
“Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
sumber: ms.langitilahi.com
sedang bersedia ke arah itu..susah jugak nampaknyer =)
ReplyDelete@piouspdosh
ReplyDeleteea...baguslah...so belajar dr sekarang...nanti jgn lupe bg kad jemputan ye....hee
nice sharing..(:
ReplyDelete"bersediakah jadi isteri" xde ke??
nice sharing.
ReplyDelete