Member2

01 May 2010

Apa yang dimaksudkan dengan JAHILIYAH???


Apabila ditanya, insyaAllah ramai yang akan kaitkan jahilyah dengan kebodohan, tidak tahu apa-apa ataupun tidak berpengetahuan. Secara tidak langsung dunia akan mentafsirkan orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam sebagai umat dan masyarakat yang jahil dalam semua perkara. Realitinya, tafsiran-tafsiran tersebut telah lari daripada konsep asalnya.

Jika kita melaruti secara halus, maka jahiliyah dalam erti kata yang sebenarnya adalah jahil dari menerima agama yang benar, iaitu agama Islam yang mentauhidkan Allah SWT. Jahil juga diertikan sebagai
lawan sifat sabar dan tidak mahu berfikir. Akan tetapi bukannya jahil dengan makna tidak berilmu, kerana Al-Quran Al-Karim telah menyifatkan orang-orang Arab yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW mempunyai ilmu pengetahuan. FirmanNya:

Mafhumnya:Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dengan Bahasa Arab, bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya”. (Fussilat:3)

Allah SWT juga telah mengkhabarkan bahawa mereka juga boleh membaca. FirmanNya:

Mafhumnya:Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanyalah seorang manusia yang menjadi rasul?” (Al-Isra’: 93

Apa yang kita perlu tahu orang-orang Arab ketika itu telah sampai ke tahap tertinggi dalam sastera mereka. Hal ini terbukti melalui syair-syair jahiliyah, kata-kata hikmah dan bidalan-bidalan ataupun peribahasa-peribahasa yang sering dikumandangkan oleh para sasterawan mereka. Orang Arab jahiliyah juga hebat dalam bahasa melalui kefahaman mereka terhadap Bahasa Al-Quran yang merupakan kemuncak bahasa yang tertinggi dari segi fasohah dan balaghahnya. Malahan, kebanyakan pembesar-pembesar mereka memeluk Islam setelah terpikat dengan keindahan Bahasa Al-Quran yang bermukjizat itu seperti Saidina Umar Al-Khattab.

Oleh itu, makna perkataan jahiliyah bukanlah bodoh atau jahil kerana tidak berilmu pengetahuan, sebaliknya ia adalah suatu sifat ataupun ciri-ciri kaum yang tersesat daripada jalan agama yang benar, di samping sikap mereka yang degil, bodoh-sombong, melancarkan permusuhan terhadap nabi, sering terburu nafsu dan berlagak angkuh.

Jika kita renungkan sejenak, apakah logik Al-Quran yang serba hebat itu diturunkan kepada kaum yang tidak berpengetahuan? Di manakah nilai Al-Quran sekiranya Ia mencabar golongan yang bodoh ini untuk menyusun ayat yang sebanding dengan ayat-ayat Al-Quran? 

Maka, jawapan yang boleh diberikan di sini adalah kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sudah jauh terpesong daripada ajaran nabi-nabi yang sebelumnya. Mereka dianggap jahil kerana 
- menyembah dan mendewa-dewakan batu-batan yang tidak ada sebarang kudrat terhadap dirinya sendiri apatah lagi kepada makhluk lain. 
- mempunyai fahaman yang kolot terhadap kelahiran anak perempuan yang akhirnya ditanam secara hidup-hidup. 
-amalan riba dalam perniagaan. 
- perbuatan zina dan maksiat yang bermaharajalela. 
- penindasan golongan miskin dan lemah. 
- tidak mahu menerima ajaran Al-Quran yang terang-terang mengajak kepada kesejateraan dunia dan akhirat, dengan merasakan sistem kehidupan yang ada pada mereka adalah yang terbaik.

Jika kita renung kembali, ternyata jahiliyah boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja umat di dunia pada hari ini yang turut memiliki ciri-ciri jahiliyah di atas. Ini adalah kerana, sungguhpun penduduk bumi sekarang ini menyaksikan banyak kemajuan materialistik dan ia tampak sempurna di mata kita, namun hakikatnya evolusi pemikiran kini seolah-olah mempamerkan keinginan untuk menghidupkan kembali budaya jahiliyah terutamanya dalam masyarakat Islami. Siapakah mereka?

No comments:

Post a Comment